Thursday, January 1, 2015

Produk Homestay dan Konsep Yang Betul

Selain menyewakan rumah, salah satu cara untuk menjana kewangan pasif ialah menjadikan rumah sebagai homestay atau juga disebut sebagai inap desa. Sumber Utusan Online menyebut bahawa sesetengah rumah tumpangan atau sewaan harian telah disalahertikan sebagai homestay dan telah memberikan sedikit impak yang negatif kepada konsep kewujudannya yang sebenar.

Homestay merupakan konsep tinggal bersama dengan pemilik rumah yang mana mereka boleh merasai suasana kehidupan keluarga dan masyarakat setempat, malah bersama dalam kegiatan harian. Di situ, pelancong dapat merasai pengalaman baru dalam aspek budaya dan tradisi selain suasana persekitaran baru.



Yb Sr. Hj. Muhammad Farid Saat, Pengerusi Homestay Pulau Pinang di dalam kertas kerjanya menyatakan bahawa produk homestay bertujuan untuk mendedahkan pelancong daripada negara luar terutamanya untuk mempelajari budaya setempat, berkomunikasi dengan masyarakat selain melihat sendiri aktiviti seharian dalam sesebuah kampung.

Dalam hal ini, mungkin saya dan sesetengah anda terkhilaf menjadikan apartment atau rumah teres anda dengan menggunakan perkataan homestay sebagai kata kunci dalam mempromosikan apartment dan rumah anda sebagai sewaan harian. Oleh itu, adalah disarankan menggunakan istilah lain seperti penginapan harian, sewaan harian atau lainnya yang lebih sesuai.



Walaubagaimanapun, pihak kementerian setakat ini belum mempunyai kuasa untuk menghalang penggunaan istilah tersebut kerana ianya tertakluk kepada pihak berkuasa tempatan.

0 comments:

Post a Comment

Sila tinggalkan komentar anda. Terima kasih.